Cara Pakai Sampin Yang Anda Perlu Ketahui

Posted on June 26 2020

Terdapat cara pakai sampin yang anda boleh ikuti. Tapi sebelum itu, ketahui terlebih dahulu tentang asal usul sampin, maksud sampin dan cara memakai samping yang betul.


Sampin Baju Melayu


Perkataan sampin ini berasal daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Walaubagaimanapun, perkataan sampin bertukar ke perkataan samping selepas baju Melayu disebarkan ke Kepulauan Riau pada ketika itu.

Selain itu, cara pemakaian samping bersama baju Melayu pada zaman tersebut membezakan status seseorang pedagang, samada pedagang dalam atau luar.

Penduduk asal di kawasan tersebut mengenakan sampin dengan cara kain sampin dipakai di bawah baju Melayu, iaitu baju berada di luar. Cara ini dipanggil ‘Berdagang Dalam’.

Bagi golongan pendatang pedagang pula mengenakan samping dengan cara kain sampin dipakai di atas baju dan baju diselit ke dalam kain. Cara ini dipanggil ‘Berdagang Luar’.

Terdapat juga cara mengikat samping mengikut pangkat dan darjat seseorang seperti ikatan pancung, ikatan kembung dan ikatan lingkup.

Ikatan pancung - Golongan Raja, Sultan dan kerabat sahaja.
Ikatan Kembung – Golongan Pembesar dan orang-orang yang mempunyai gelaran.
Ikatan Lingkup – Golongan rakyat biasa, tanpa pangkat dan gelaran.

 

Maksud Di Sebalik Sampin

Pemakaian sampin pada baju Melayu ini dikatakan satu pelengkapan dan diiringi dengan pelbagai jenis sampin.

Sampin yang dipakai sehingga ke bawah paras lutut menunjukkan si pemakai sudah berstatus berkahwin dan mempunyai pasangan, iaitu isteri.

Manakala sampin yang dipakai atas paras lutut pula menandakan si pemakai masih berstatus bujang dan tidak mempunyai pasangan hidup lagi.

Tambahan info, jika si pemakai itu sudah bergelar suami dan masih memakai sampin di atas paras lutut, itu bermakna si dia masih memasang niat untuk menambah isteri lagi.


Cara Pakai Sampin Yang Betul

Terdapat 3 cara mudah untuk memakai sampin yang betul buat para jejaka diluar sana. Jom ikuti salah satu langkah ikatan sampin baju Melayu mudah ini.

 

1) Ikatan Sampin Pertama

Sarungkan kain sampin pada badan anda. Buka lembaran sampin, pastikan tulang kain berada ditengah badan anda.

Pastikan panjang sampin anda diatas perut dan labuhnya diatas lutut. Tarik sampin anda sehabisnya kearah kanan anda.

Pegang dan tahan pada lipatan tersebut di kanan badan anda. Lipat sampin terus ke kiri badan, pastikan terletak disisi kiri badan.

Kepala kain haruslah terletak tengah badan anda. Mulakan lipatan kecil dahulu. Pastikan lipatan tersebut sekata dengan lipatan hadapan dan dari belakang juga.

Lipatan besar digalakkan, selagi kemas dan selesa buat anda.

Pastikan lipatan menampakkan tenunan kain di bahagian dalam.

Pastikan labuh sampin selepas lipatan tersebut berada sedikit atas perut dan atas dari paras lutut anda.

 

2) Ikatan Sampin Kedua

Cara kedua ialah anda perlu memegang bahagian tengah dan bahagian kanan. 

Bahagian kiri dan kanan pula dilipatkan ke bahagian tengah. Kemudian gulung lipatan tersebut sehingga ianya berada di atas perut dan atas paras lutut. Kemaskan.

 

3) Ikatan Sampin Ketiga

Kain sampin dilembarkan pada badan anda. Tarik sehabisnya kain ke bahagian kanan. Selepas itu mula bentukkan ikatan corak bunga di bahagian tersebut. 

Saiz bunga tidak besar sehingga menutupi pinggang dan tidak kecil seperti punjut.

Pastikan anda kemaskan pembentukan bunga di tepi bahagian kanan pinggang anda. 

Untuk tambahkan kefahaman cara ikatan ini, anda boleh tonton video ini yang menggunakan teknik ikatan sampin baju Melayu seperti diterangkan di atas.

P.S Sekiranya anda ingin mendapatkan sampin songket berkualiti dengan harga yang berpatutan, layari laman web Songket Dunia hari ini.